seindah mawar berduri

" Seindah Mawar Berduri "

Part 11

Mukhlisin membela diri.

“Siapalah kita untuk menilai keikhlasan sendiri. Ikhlas ke tak ikhlas ke, itu urusan Allah, Allah Maha Mengetahui. Muhasabahlah balik tujuan awak untuk mendekati saya kerana dalam sedar ataupun tidak mungkin ianya didasari nafsu semata bukan atas pertimbangan akal,” Khazinatul Asrar masih bernada tegas.

“Awak meragui keikhlasan saya?” soal Mukhlisin. “Saya tak bermaksud begitu. Sekadar ingatan dan langkah berhati-hati. Lagipun saudara adalah orang asing dalam hidup saya, memang menjadi haq saya untuk meragui setiap orang yang asing.” “Khazinatul Asrar…salahkah saya cuba untuk mengenali gadis yang baik untuk dijadikan isteri?” redup wajah Mukhlisin.



Faranaqwiah tertunduk malu dengan kenyataan itu. Khazinatul Asrar masih mampu bertegas.
“Tak ada hokum yang mengatakannya salah. Tapi saudara kena ingat. Matlamat tak menghalalkan cara.

Cara mestilah syaro’ mengikut lunas-lunas agama.” Jelasnya lembut kali ini namun kenyataannya masih tegas.

“Okeylah, okeylah…saya tak berniat berdebat apa-apa dengan awak. Cuma, saya ada satu permintaan. Mungkin yang pertama dan terakhir. Begini… saya ada perkara penting yang nak dicakapkan dengan awak, Khazinatul Asrar. Dah banyak kali saya cuba hubungi handset awak tapi nampaknya awak tak sudi langsung nak menjawabnya.

Mungkin awak rasa saya nak mengganggu lagi. Itu silap saya sendiri kerana nota-nota tue. Tapi, saya harap sangat-sangat kita boleh jumpa malam ni, boleh kan?” ajakannya memang bersungguh-sungguh. Sinar matanya memancar harapan.

“Maafkan saya, saudara! Berjumpa tanpa urusan yang munasabah antara lelaki dan perempuan bukanlah prinsip hidup saya. Saudara mungkin tersilap orang untuk diajak keluar,” nadanya lembut namun tegas.
“Habis tue, takkan saya tiada peluang langsung untuk mengenali awak?” Mukhlisin berasa hampa dengan penolakan itu.

“Saudara…untuk apa kita saling mengenali? Ianya hanya memberi kesempatan kepada syaitan untuk memudahkan kerjanya melalaikan manusia,” tegasnya lagi.

“Tapi ini soal hati dan perasaan, bukan mainan. Saya tahu…saudari sebenarnya tak mahu mengenali saya kerana saya tak layak mengenali saudari, kan?” terluah satu kekecewaan dan kekesalan.

“Maafkan saya. Saya langsung tak berniat memperkecilkan saudara. Antara kita tiada lebihnya melainkan darjah ketaqwaan yang semuanya menjadi urusan Allah.

Siapalah diri saya untuk berlaku sombong… Saudara, saya buat begini semata-mata mengharap naungan keredhaan Allah untuk kebaikan kita bersama. Lagipun, saudara tak bimbangkah pada amaran Rasulullah bahawa mengenali seorang wanita mungkin menjadi fitnah kepada seorang lelaki?” Khazinatul Asrar cuba menenangkan perasaan Mukhlisin.

“Memang Rasulullah sangat bimbangkan dengan bahaya fitnah wanita akhir zaman. Tapi bukannya semua wanita membawa fitnah. Wanita itu hiasan dunia dan sebaik- baik hiasan adalah wanita solehah. Salahkah saya cuba mendapatkan hiasan yang sebaik-baiknya itu untuk hidup saya? Malah itu adalah hak dan impian semua lelaki,” Mukhlisin mempertahankan pendiriannya.

Khazinatul Asrar terdiam. Setelah seketika barulah bersuara.

“Saya tak mahu seorang lelaki yang menjadi harapan agama dalam gerak kerja memartabatkan Islam akan lalai dan menjadi lemah iman kerana saya. Apatah lagi intelektual Islam sehebat saudara. Saya tak mahu menjadi wanita akhir zaman yang menyumbang kepada kelalaian lelaki. Kalaulah wanita hari ini terpelihara keperibadiannya dari pelbagai aspek, InsyaAllah akan lahirlah pemuda-pemuda Islam yang sanggup berada di jalan perjuangan sebagaimana keunggulan srikandi-srikandi Islam terdahulu yang akhirnya melahirkan para ambiya’, auliya’, dan shalihin yang unggul dan terbilang. Tarbiyah inilah yang cuba saya praktikkan pada diri saya. Oleh sebab itu saya tak mahu menghampiri perkara-perkara yang melalaikan seperti ajakan saudara ini. Maafkan saya,” Khazinatul Asrar cuba menjelaskan pendiriannya.

“Saya tak kisah kalau awak menolak ajakan saya nie. Cuma…saya harap awak luangkanlah waktu fikirkan tentang perasaan saya terhadap awak.
Saya benar-benar cintakan awak kerana Allah!” Mukhlisin semakin berani berterus terang. Tidak dihiraukan lagi rasa segan dan malu pada gadis itu. Pipi Khazinatul Asrar kemerah-merahan dengan kata-kata itu. Tak dapat dibendungnya lagi rasa malu kepada Faranaqwiah dan pada Mukhlisin sendiri. Tangan Faranaqwiah ditariknya sambil mengatur langkah meninggalkan Mukhlisin tanpa sebarang kata putus. Faranaqwiah yang sejak tadi setia memerhati terus setia mengikut rentak kaki temannya yang mara kehadapan.
Matanya melirik kepada Mukhlisin yang semakin jauh ditinggalkan dengan persoalan. Kasihan padanya…

”Syauqah…duri yang memagari diri. Tiba waktunya duri itu takkan lagi berbisa untukku. Oh, Khazinatul Asrar…” Mukhlisin memujuk hatinya sambil anak matanya mengekori setiap langkah sopan kedua-dua gadis itu.

Setelah kedua-duanya hilang dari pandangan, keretanya dipecut laju. Semangatnya makin membara untuk menyunting mawar berduri itu. Tatkala melintasi satu bus stop, dia terpandang Hijriah tercegat di situ.

Keretanya berundur balik dan melencong ke bus stop tersebut.

“Kenapa sorang jea kat sini? Lewat petang begini…bahaya tau! Nak balik kampus ke?” Mukhlisin mengambil berat terhadap jirannya.

“Aku nak balik rumah. Esok, tak ada kuliyah. Kau pulak tentu dari Bangi kan… nak ke mana? Nak balik ke kampus Medic di KL ke?” Hijriah pulak bertanya bertubi-tubi.

“Aku pun ingat nak balik Kajang nie. Marilah aku hantarkan kau sekali. Alah aku ni kan jiran kau…tak payahlah segan. Mari…”

Mukhlisin cuba meyakinkan Hijriah yang kelihatan agak keberatan. Hijriah akur dan masuk ke dalam kereta.

“Kau dari mana sorang-sorang ni?” tanya Mukhlisin prihatin.

“Tak adalah. Aku bertiga tadi dengan Fadhila dan Humaira’. Diorang baru saja naik komuter balik kampus. Kami jalan-jalan jea. Ni kan hari minggu. Mestilah nak rehatkan fikiran,” jawab Hijriah.

“Ish, final exam dah dekat pun ingat nak jalan-jalan lagi ke?” sindir Mukhlisin.

“Alah sesekali jea. Fikiran yang tenang pun menjadi faktor kejayaan tau!” balas Hijriah.

“Yea lah tu… aku nak tengok jea konvo hujung tahun nie kau masuk golongan first class atau tidak,” Mukhlisin sengaja nak tengok Hijriah marah. Hijriah menjeling geram. “Kau tue konvo jugak akhir tahun nie,kan…kalaulah kau masuk third class, akulah orang pertama yang akan ketawakan kau. Apa taknya siang malam asyik ingatkan si dia…” giliran Hijriah pula sinis menyindir.

Mukhlisin tersenyum nakal.

“Eh, marah pulak dia! Aku gurau jea tadi…Kau jangan lupa, course Medic tak main class-class tau, antara Pass atau Fail jea. Jangan jealous! Err,Hijriah…. Dia pun konvo sama-sama kita,kan?” wajah Khazinatul Asrar bertandang di fikiran Mukhlisin.

Hijriah menggeleng lagi, “Kau ni memang….kalau pasal Asrar mula nak berbaik dengan aku. Asrar buah hati kau tue nak sambung lagi sampai Phd lepas konvo ni tau! Kau pulak?” “Lepas konvo aku kena bertugas di hospital tengku Ampuan Afzan. Nanti kalau kau sakit, marilah jumpa Dr.Mukhlisin. jangan lupa ajak dia sekali,” Mukhlisin bergurau.

Hijriah mencebik bibir.

“Tak malu!” bentak hatinya.
“Aku rasa dia tak nak datang pun.
Rela dia sakit daripada jumpa doktor yang niat tak betul macam kau. Aku pun lebih baik aku jumpa doktor yang lebih profesional dan berpengalaman. Takut bertambah sakit pulak aku bila tengok muka kau tu,” Hijriah mengusik Mukhlisin. Mukhlisin tiba-tiba rasa sedikit sensitive.

“Kenapa dia tak boleh terima aku? Apa kurangnya aku?” melencong ke lain pulak perbualan Mukhlisin. Hijriah rasa simpati dengan kata-kata itu.

“Engkau? Bagi aku… kau lelaki istimewa. Ada rupa, kemewahan dan pelajaran.

Ketaqwaan tue, aku tak berani nak kata. Urusan Allah. Mungkin hatinya masih belum terbuka sebab dia nak tumpukan pada pelajarannya dulu. Sabarlah….” Pujuk Hijriah.

“Tapi, dia langsung tak bagi aku peluang. Macam dia dah ada orang yang punya,” Mukhlisin membuat andaian.
“Khazinatul Asrar dah berpunya? Tak mungkin! Dia mawar berduri. Cintanya milik Allah. Bukannya senang nak disunting sesiapa!” sangkal Hijriah.

“Aku harap begitulah…” balas Mukhlisin penuh harapan.

“Kau kena fikir… keduniaan serba lengkap yang kau miliki boleh ke menjanjikan kebahagiaan pada Khazinatul Asrar nanti? Wanita beriman takkan pandang sangat pada kekayaan dunia. Satu lagi, kau tu janganlah terlalu kejar dan mendesak dia.

Rimas dia nanti. Buatlah perangai elok-elok sikit macam lelaki beriman. Ni tidak… cakap pasal Islam jea pandai, akhlak tak beramal sangat. Asrar selalu ingatkan aku bahawa zaman sekarang ni, ramai orang yang boleh bercakap pasal Islam tapi tak ramai yang menghayati Islam tu sendiri. Ramai juga yang menabur janji cinta kerana Allah tapi tak merealisasikan cinta itu sebenarnya. Dia takkan mudah terpedaya dengan kata-kata. Dia akan menilai pada akhlak kau, kau dalam ujian dan nilaian Asrar sekarang ni, tau!” nasihat Hijriah berserta bisikan di dasar hatinya, nasihat itu ditujukan untuk dirinya sendiri juga.

“Dia sedang menguji aku?” soal Mukhlisin. Serius.
“Takkan nak tipu!” jawab Hijriah.

“Pass ke aku pada ujuan dia?” keluh Mukhlisin, bimbang.

“Resultnya adalah ketentuan Allah jua, katanya. Khazinatul Asrar tu mementingkan keberkatan dalam hidupnya.

Baginya, lebih berkat kalau dia menerima lelaki di saat dia dah betul-betul bersedia terutamanya bila dah graduate. Kau kena banyak berdoa agar waktu tu hatinya boleh terima kau. Itulah petanda kau dah lulus ujian dia..”

“Hijriah, aku risaulah! Inilah kali pertama aku merasakan dhoifnya diriku walaupun hidup penuh kemewahan.
Iman aku tak sekaya Khazinatul Asrar! Rasa macam tak padan nak bergandingan dengan dia. Tapi, aku masih boleh memperbaiki diri..Hijriah,kan?! aku memang dah lama bercita-cita nak jadi baik macam dia.

Mendamaikan tiap mata yang memandang. Aku tak boleh melupakan Khazinatul Asrar walau sesaat pun..” luah Mukhlisin.

“Ha…dia pernah beritahu aku tentang lelaki idamannya.”

“Apa dia cakap?” Mukhlisin tak sabar-sabar.

“Amboi amboi..kau ni! Okey, dengar baik-baik yea… Khazinatul Asrar impikan seorang suami yang akan memeriahkan mahligainya dengan kalamullah, menghidupkan malam dengan tahajjud berjemaah, mendidik generasinya dengan pewaris perjuangan Rasulullah. Biarlah lelaki itu tak punya rupa dan kekayaan asal hatinya sarat dengan keimanan. Ehem…kau dah cukup syarat nak jadi lelaki idaman Khazinatul Asrar?” usik Hijriah lagi.

Tiba-tiba brek ditekan mengejut menyebabkan kedua-duanya tersentak ke hadapan. Nasib baik tali pinggang dipasang kemas dan belon udara cepat bertindak.

Kebetulan jalan yang biasanya sesak itu agak lengang. Tiada kereta yang memandu dekat di belakang. Kalau tidak, mungkin mereka nahas dirempuh dari belakang.

“Kenapa kau ni?” Hijriah sangat terkejut.

“Maaf…maafkan aku! Kau tak apa-apa, Hijriah?” Mukhlisin rasa bersalah.

Wajahnya sangat cemas.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers