entrepreneur


Dalam konteks perniagaan, bangsa Yahudi , Cina seringkali digambarkan sebagai bangsa yang berkebolehan di dalam perniagaan. Sedangkan Rasulullah S.A.W. menggalakkan umatnya supaya menceburkan diri di dalam perniagaan sejak 1400 tahun yang lalu lagi.

Seperti sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya : " Sembilan persepuluh sumber rezeki boleh diperolehi melalui perniagaan".
(Riwayat Termizi)

Penguasaan umat Islam terhadap perniagaan hari ini amat lemah berbanding dengan bukan Islam. Kenapa fenomena ini berlaku? Apakah kekurangan modal yang menjadi halangan atau kekurangan minat?. Inilah persoalan yang perlu dijawab untuk mengungkap budaya perniagaan dikalangan Umat Islam.

Al-Quran dan As-Sunnah merupakan sumber utama yang dapat dijadikan panduan meskipun nas yang terdapat di dalamnya hanya menjelaskan prinsip-prinsip asas sahaja. Perniagaan merupakan salah satu aktiviti yang mendatangkan keuntungan, bukan sahaja di dunia tetapi juga diakhirat, selama mana ia tidak menyalahi kehendak syara'.
FirmanNya dalam surah As-Shaf ayat 10 :

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman. Hendakkah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih".

Konsep perniagaan dalam Islam mempunyai perbezaan yang ketara berbanding dengan apa yang dipraktikkan di dalam sistem perniagaan konvensional yang melihat kepada keuntungan semata-mata. Tetapi Islam menekankan bahawa perniagaan merupakan salah satu agenda kehidupan manusia yang penting. Selain dari mendapat keuntungan, keberkatan merupakan salah satu elemen asas yang patut ditekankan. Perniagaan yang berkat ialah perniagaan yang menepati kehendak syara'. Sifat-sifat murni dalam perniagaan antaranya benar, jujur, ikhlas hendaklah diamalkan. Ahli perniagaan yang bersifat jujur, ikhlas hendaklah diamalkan. Ahli perniagaan yang bersifat jujur akan sentiasa berada dibawah rahmat Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W.

Maksudnya : " Ahli perniagaan yang menghayati sifat siddiq tidak terhalang daripada pintu-pintu syurga".
(Hadis Riwayat Al-Hakim)

Begitu juga seorang ahli perniagaan yang jujur setanding dengan para anbia', ulamak dan syuhadak.

Sebagaimana sabda baginda lagi :

Maksudnya : " Ahli perniagaan yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta dengan para Nabi, Siddiq dan Syuhada'.
(Riwayat Termizi)


Manusia yang bijak merupakan manusia yang belajar daripada peristiwa silam. Sewaktu Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda berhijrah dari Mekah dan Madinah, kaum Muhajirin tidak mempunyai apa-apa. Namun mereka mempunyai semangat untuk meletakkan diri mereka setanding ataupun lebih baik berbanding dengan apa yang dimiliki oleh kaum Yahudi. Berkat kesungguhan dan usaha berterusan dengan berbekalkan ketakwaan kepada Allah S.W.T., Umat Islam bukan sahaja dapat mengembangkan ekonomi Umat Islam di Madinah bahkan mereka dapat memecahkan benteng monopoli ekonomi yang dikuasai oleh orang-orang Yahudi.

Demikian semangat berniaga yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. tetapi apa yang disarankan oleh Rasululah kini telah diabaikan. Umat Islam telah tersisih daripada menguasai perdagangan dan sistem ekonomi, sedangkan kebanyakan negara Islam mempunyai kekayaan sumber alam dan juga bahan galian seperti minyak, bijih timah dan hasil pertanian.

Ini menimbulkan persoalan dimanakah tahap para peniaga Islam kita sekarang? Mengapa kita tidak mencontohi kaum muhajirin yang serba kekurangan tetapi menguasai perniagaan? Mari kita sama-sama renungkan, siapakah yang menguasai perniagaan / ekonomi di negara kita sekarang ini? Siapakah yang menguasai sebahagian besar saham-saham syarikat? Sebenarnya kita telah ketinggalan jauh. Kita hanya mampu menjadi pengguna sahaja hatta kain kafan dan peralatan urusan kematian kita pun perlu diperolehi daripada para peniaga bukan Islam.

Biarpun menghadapi saingan yang sengit daripada bukan Islam, ia bukannya penghalang tetapi menjadi cabaran kepada orang Islam untuk merebut peluang-peluang yang selama ini telah direbut oleh orang lain. Sebagai Umat pilihan , sepatutnya kita mengulangi kembali kejayaan yang pernah kita kuasai suatu ketika dahulu. Rasulullah sendiri adalah seorang ahli perniagaan. Ramai sahabat baginda menguasai bidang ekonomi yang berjaya seperti Abdul Rahman bin Auf, Othman bin Affan dan lain-lain.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers